KEPALA BATAS: Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Terengganu, Dr Zulkifli Mohammad Al-Bakri (gambar) menyarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya mengasingkan tugasan perbidanan kepada golongan wanita sahaja.
Beliau menyatakan demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk  'Ubat-ubatan Dan Vaksin Yang Tidak Halal: Perbincangan Serta Fatwa Ulama  Dalam Penggunaan Dan Pengurusannya' di Konvensyen Perubatan Islam dan  isu Fiqh Perubatan Peringkat Kebangsaan Tahun 2013 di Perbadanan  Produktiviti Negara, di sini pagi tadi.
Kata beliau, sudah sampai masanya kerajaan menetapkan agar wanita yang  bersalin disambut oleh doktor wanita sahaja bukan lelaki seperti yang  berlaku di sesetengah hospital hari ini.
"Saya sarankan kepada Kerajaan Malaysia supaya buat perubahan besar  dalam kaedah perbidanan agar tidak membenarkan doktor lelaki menyambut  kelahiran bayi sebaliknya ianya diuruskan oleh doktor wanita," ujarnya.
Beliau yang sering bersiaran di TV Hijrah turut bertanya kepada peserta  konvensyen adakah tuan tidak rasa malu tubuh badan isteri anda dilihat  oleh 8 orang doktor dan pembantu doktor dalam bilik bersalin.
Katanya lagi, tidak wajar kemajuan negara yang semakin canggih masalah tersebut tidak boleh diatasi lagi.
Lagipun sekarang ini, ujarnya tidak logik sebuah negara yang sudah lama  merdeka tidak boleh mengubah perkara sedemikian kerana ia tidak  memerlukan akta.
"Masa kini tidak logik lagi sekiranya masalah sambut bayi tidak boleh  diberikan tugasan kepada doktor wanita sepenuhnya sebab doktor wanita  dah ramai di bahagian perbidanan," tegasnya.
Program anjuran Unit Hal Ehwal Islam Hospital Pulau Pinang dengan  kerjasama Kelab Kebajikan dan Sukan Pejabat Kesihatan Daerah Seberang  Perai Utara dan International Muslim Aid Malaysia (IMAM ) itu dirasmikan  oleh Penolong Pengarah Kanan Perubatan Jabatan Kesihatan negeri, Dr  Sabri Osman.
Sumber: http://satuumat.blogspot.com/2013/06/malaysia-perbidanan-khas-untuk-wanita.html 
